Zakat Pertanian
Zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sebuah negeri yang telah cukup nisab dan haulnya. Hasil tanaman yang wajib dizakatkan adalah bijirin-bijirin dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan seperti padi, kurma, jagung, gandum dan sebagainya.
Dalil Zakat Pertanian
Firman Allah SWT bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu....". (Surah Al-Baqarah:267)
Syarat wajib zakat pertanian
- Islam
- Sempurna milik
- Merdeka
- Cukup Nisab - * cukup sukatan iaitu 5 Ausuk bersamaan 363 gantang Malaysia)
- Biji-bijian dan buah-buahan hendaklah ditanam oleh manusia
* Hasil tanaman yang tidak asas seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, tebu, koko dan lain-lain buah-buahan dikenakan zakat perniagaan jika diperniagakan
Kaedah mengeluarkan zakat pertanian
Biji-bijian dan buah-buahan yang cukup nisabnya hendaklah dibayar zakatnya mengikut peratus penghasilan. Kadar peratus pembayarannya bergantung kepada cara-cara penghasilnya.
Biji-bijian dan buah-buahan yang sampai nisab yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak maka kadar zakatnya ialah 5% atau 1/20.
Biji-bijian dan buah-buahan yang sampai nisab yang hanya bergantung kepada jirusan air hujan atau hidup dengan aliran sungai atau parit maka kadar zakatnya ialah 10% atau 1/10.
Bagi tanaman yang mengunakan kedua-dua cara di atas maka kadarnya ialah 7.5%


