Bagaimana untuk tunaikan kaffarah?
Kaedah menunaikan kaffarah adalah berbeza mengikut jenis kesalahan yang dilakukan. Berikut adalah jenis kaffarah dan cara menunaikannya:
i) Kaffarah Jima' (bersetubuh pada siang hari dalam bulan Ramadhan) / Kiffarah Zihar
- Memerdekakan seorang hamba
- Puasa selama 2 bulan berturut-turut
- Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin
(Nilaian untuk memberi makan kepada 60 orang miskin adalah sebanyak segantang beras bagi setiap seorang. Ini bermakna sebanyak 60 gantang beras (bersamaan 168 kg [anggaran setiap satu gantang berharga RM 3.75] menjadikan jumlah keseluruhan 60 gantang = 60 orang miskin = RM 225). Namun begitu, mengikut kebiasaan masyarakat di Malaysia tidak makan nasi kosong semata-mata. Justeru, berdasarkan pandangan daripada Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi nilai ini haruslah dianggarkan kepada jumlah nilai hidangan yang mengenyangkan berdasarkan realiti masyarakat setempat. Justeru, mengikut kesesuaian masyarakat setempat pihak PPZ-MAIWP mengesyorkan agar nilai harga makanan bagi satu hidangan yang lengkap ialah sebanyak RM5. Oleh itu jumlah kaffarah yang perlu dibayar ialah RM300.
ii) Kaffarah Melanggar Sumpah/Nazar
Kaffarah bagi kesalahan ini mengikut pilihan kemampuan ialah :
- Memberi makan kepada 10 orang miskin (atau dengan nilai RM 5 X 10 orang = RM 50) atau
- Memberi pakaian kepada 10 orang miskin (pakaian yang dimaksudkan ialah yang sesuai dan menutup aurat serta boleh dibawa sembahyang) atau
- Membebaskan seorang hamba atau
- Berpuasa selama 3 hari berturut-turut.
iii) Kaffarah Pembunuhan Tanpa Niat/Tidak Sengaja
- Membebaskan seorang hamba
- Membayar diyat (satu bentuk bayaran denda) sebanyak 100 ekor unta (atau mengikut anggaran dalam jumlah wang sebanyak RM 100,000).
- Puasa selama 2 bulan berturut-turut beserta taubat nasuha.


