Cadangan untuk melaksanakan penubuhan satu agensi yang mengurus zakat secara korporat telah dikemukakan oleh Dato’ Haji Abdul Rahim Abu Bakar (Allahyarham) kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Yusof Noor.

Ini adalah hasil kesedaran bahawa sistem memungut zakat pada masa tersebut mengandungi beberapa kelemahan. Kelemahan yang ada ialah sistem pentadbiran zakat yang tidak begitu teratur serta tiada penerangan yang terperinci berkenaan dengan cara pengiraan zakat harta di mana tumpuan hanya diberi kepada zakat fitrah serta kekurangan kemudahan pembayaran untuk pembayar.

Setelah kajian komprehensif dijalankan, maka sebuah agensi yang dinamakan Pusat Pungutan Zakat telah ditubuhkan dan bermula beroperasi iaitu melayan masyarakat pembayar zakat pada 27hb. Disember 1990 dengan menggunakan sistem komputer. Penggunaan komputer untuk urusan memungut zakat adalah satu peristiwa bersejarah kerana belum dilakukan baik di Malaysia atau di negara lain.

Institusi zakat juga menempuh sejarah kerana buat kali pertamanya konsep amil yang memungut zakat secara bertindak berseorangan diganti dengan konsep amil yang bersatu di bawah satu syarikat dengan masing-masing menggabung kepakaran bukan sahaja sebagai amil tetapi kepakaran perakaunan, komputer, pentadbiran, pemasaran, kesetiausahaan, pendeknya satu kumpulan yang padu.

PPZ telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad (Tun) pada 8hb. Mac 1991 yang telah menyatakan hasratnya untuk melihat PPZ-MAIWP dapat menolong mewujud satu era baru dalam pentadbiran zakat.

Banyak pembaharuan-pembaharuan lain telah dibawa oleh Hartasuci dalam mentadbir PPZ-MAIWP semenjak dari tahun 1991. Pembaharuan-pembaharuan ini dapat dijalankan kerana struktur dan sistem secara korporat yang tidak terikat dengan karenah birokrasi mewujudkan suasana yang menggalakkan inovasi, proaktif dan mementingkan pelanggan iaitu pembayar zakat. PPZ-MAIWP mendengar serta mengambil tindakan yang pantas atas pandangan masyarakat berkenaan dengan pembayaran zakat.

PPZ-MAIWP menjadi contoh organisasi kutipan zakat di Malaysia kerana julung kali mula beroperasi menggunakan teknologi komputer semenjak pengoperasian. Kecekapan dan keberkesanannya meningkatkan kutipan zakat dari tahun ke tahun serta bentuk pemasaran yang agresif meningkatkan kesedaran masyarakat Islam untuk berzakat. Baitulmal berjaya menjalankan pelbagai bentuk program dan mendirikan beberapa pusat sosial, kebajikan dan pendidikan khususnya masyarakat bandar hasil dari kutipan zakat yang meningkat setiap tahun.