Zakat Pendapatan

Apa Itu Zakat Pendapatan

Zakat pendapatan timbul daripada konsep zakat al-mal al-mustafad (zakat harta perolehan). Konsep al-mal al-mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan dari hasil usaha tanpa sebarang proses pertukaran (jual-beli), secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.

Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji. Ini kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan terutamanya bagi seseorang yang menyandang jawatan-jawatan profesional atau peringkat tinggi dalam sesebuah organisasi. Ia juga antara aktiviti perekonomian utama pada zaman ini, apatah lagi profesion makan gaji sudah menjadi lumrah dalam kehidupan sekarang.

Dalil Zakat Pendapatan

Kewajipan zakat pendapatan telah diasaskan oleh beberapa dalil. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman (yang bermaksud):

Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Dalam sebuah Hadis (yang bermaksud):Telah diceritakan oleh Said Bin Abi Burdah dari bapanya dari datuknya dari Nabi SAW bersabda:

Sedekah ditekankan atas setiap Muslim Lalu para Sahabat bertanya: Wahai Nabi Allah, bagaimana dengan orang yang tidak mendapatkan (sesuatu untuk disedekahkan) Beliau menjawab: Dia beramal dengan tangannya (kerja), sehingga dia bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah.

Al-athar para Sahabat turut menjadi dalil kewajiban?zakat pendapatan. Diriwayatkan daripada Abu Ubayd diterima daripada Hubayrah ibn Yarim, beliau berkata (yang bermaksud):

Abdullah ibn Masud memberikan kepada kami sebuah bakul yang berisi barang yang bernilai, diambil sebahagiannya untuk membayar zakat.

Kaedah Pengiraan Zakat Pendapatan

Fatwa Wilayah Persekutuan

Zakat Penggajian

Fatwa Di Bawah Seksyen 34 (Warta: 29 April 1999). Fatwa yang dinyatakan dalam Jadual telah dibuat oleh Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, menurut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], selepas dibincangkan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, dan adalah disiarkan menurut subseksyen itu.

Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut. (Bertarikh: 9 April 1999)

Fatwa Kebangsaan

Zakat Gaji Beserta Kadarnya

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Zakat Gaji & Pendapatan Professional-2

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional. Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

Zakat Gaji & Pendapatan Professional

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas yang bersidang pada 9 Disember 1992 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Professional. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Jabatan Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebet zakat ke atas jumlah yang dibayar itu.
  2. Pendapatan profesional diwajibkan zakat kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.