Apa Itu Zakat Aset Digital
Aset digital menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia adalah merujuk kepada mata wang digital, mata wang kripto dan token digital. Aset digital merupakan antara bentuk harta baharu yang diwujudkan menerusi perkembangan teknologi rantaian blok (blockchain).
Menurut perspektif syarak, sesuatu perkara boleh diiktiraf sebagai harta jika sekiranya mempunyai nilai secara uruf; bermanfaat; boleh dijual beli; perlu diganti sekiranya dirosakkan; boleh digunakan pada bila-bila masa dan manusia cenderung untuk memilikinya.
Merujuk kepada kriteria yang disenaraikan, aset digital dilihat telah memenuhi sifat dan kriteria harta yang diiktiraf oleh syarak. Hal ini kerana aset digital mempunyai nilai menurut uruf semasa, boleh diniagakan dan cenderung dimiliki sama ada sebagai medium pertukaran, bagi urusan kiriman wang (remittance), diperdagangkan ataupun dijadikan sebagai aset pelaburan.
Meskipun demikian, aset digital dikategorikan sebagai aset pelaburan (‘urud tijarah) atau sekuriti berdasarkan pihak berautoriti dan pengawal selia (regulator) di Malaysia. Hal ini kerana kerana ketiadaan sifat kesahan dari sudut undang-undang (legal tender) menjadikannya berada pada tahap komoditi atau mata wang sekunder yang tidak memenuhi ciri-ciri mata wang.
Walau bagaimanapun, oleh kerana aset digital mempunyai nilai (thamaniyyah) dari sudut kehartaan (maliyah), maka kewajipan zakat turut tertakluk ke atasnya berdasarkan dalil-dalil umum kewajipan zakat terhadap harta.
Kaedah Pengiraan
Formula Pengiraan
[(Unit Aset Digital × Harga Semasa Aset Digital) – Kos Berkaitan] × 2.5%
Contoh Pengiraan
Encik Syah memiliki 0.2 unit Bitcoin (BTC) yang telah mencukupi haul. Harga semasa 1 unit BTC adalah bersamaan RM400,000*. Taksiran zakat aset digital yang dimiliki oleh Encik Syah bagi tahun semasa adalah seperti berikut:
Unit Aset Digital | 0.2 BTC |
Harga Semasa BTC | x 400,000.00 |
Kos Berkaitan (RM) | – 10.00 |
Kadar Zakat | x 2.5% |
Jumlah Zakat (RM) | 1,999.75 |
* Anggaran harga semasa
** Kos berkaitan transaksi tertakluk kepada ketetapan sesebuah pelantar (platform)
Fatwa Berkenaan Dengan Kewajipan Zakat Ke Atas Aset Digital
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali ke-134 yang bersidang pada 26 dan 27 Oktober 2021 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Kewajipan Zakat ke atas Aset Digital. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
- Apa-apa aset digital yang telah disahkan patuh Syariah, memiliki nilai dan diniagakan hendaklah dikenakan zakat perniagaan dengan perkadaran 2.5%.
- Bagi maksud Fatwa ini, aset digital yang melebihi nisab dan genap setahun wajib dikenakan zakat.
Fatwa ini telah diwartakan pada 14 November 2022 sepertimana yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara.
PPZ-MAIWP telah melantik Sharlife Sdn Bhd sebagai ejen rasmi kutipan zakat aset digital.